Assalamualaikum pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Pernahkah
terdetik rasa di hati apakah yang akan dilakukan jika anda dikhianati,
difitnah dan dizalimi? Adakah anda akan memaafkan atau membalas
perbuatannya?
Wahai pembaca yang dikasihi, Saidatina Aisyah r.a pernah bertanya
Rasulullah, "Apakah kamu pernah mengalami hari yang lebih memeritkan
daripada hari engkau menyampaikan dakwah kepada penduduk?"
Baginda bersabda, "Sungguh aku menghadapi penderitaan daripada kaummu.
Penderitaan terberat yang aku hadapi adalah pada hari Aqabah. Aku
menawarkan diri kepada Ibn Abdul Yalil bin Abdul Kulal (seorang pemuda), tetapi dia tidak melayanku."
Baginda bersabda lagi, "aku pulang dalam keadaan dukacita sehingga aku
sampai ke Qarn al-Tsa a'lib. Di sana, aku mengangkat kepalaku dan
melihat ada awan menaungiku." Akibat cercaan penduduk, Baginda
mengangkat tangan dan berdoa: "Wahai Tuhanku, kepada-Mu sajalah aku
mengadu kelemahan tenagaku, kekurangan bicaraku dan kehinaanku di mata
orang ramai. Ya Rabb. Engkaulah Tuhan mereka yang lemah, kepada siapakah
Engkau serahkan diriku ini?
Kepada mereka yang jauh membenciku? Atau kepada mereka yang Engkau beri
kuasa ke atasku? Andai Engkau tidak murka akan aku, tidaklah aku peduli
tetapi kemaafan-Mu terlalu luas untukku."
Setelah baginda berdoa, Allah menghantar malaikat gunung
untuk menawarkan pertolongan kepada baginda. Malaikat gunung berkata,
"Wahai Muhammad, Allah mengutuskan aku supaya engkau boleh arahkan aku
untuk melakukan apa saja kepada mereka. Kalau engkau mahu, aku boleh
saja menghempap mereka dengan kedua-dua gunung ini."
Namun jawapan baginda? "Bahkan aku sangat berharap Allah mengeluarkan
daripada tulang sulbi mereka, generasi yang menyembah Allah tanpa
syirik." Subhanallah. Betapa pemaaf baginda.
Wahai saudaraku, apakah kita terlalu suci dan sempurna sehingga tidak
boleh memaafkan kesalahan? Sedangkan manusia agung pun mengampuni
umatnya, inikan pula kita manusia biasa.
Ketika diusir dan dilempar batu sewaktu berdakwah, baginda bukan saja
memaafkan tetapi mendoakan generasi seterusnya beriman kepada Allah.
Mungkin terlintas di fikiran kita, ini pendekatan terbaik kerana baginda
belum berkuasa.
Fath-hul Makkah
menafikan semua itu. Ketika itu baginda berkuasa tetapi tidak membalas
dendam atas seksaan dan sekatan ekonomi yang sangat dahsyat serta
mengorbankan banyak nyawa, bahkan baginda bersabda kepada pemimpin
Quraisy, "Pergilah, sesungguhnya kamu semua bebas!"
Mengimbas kembali kisah Safwan bin Umayyah yang mahu lari ke Jeddah
menaiki kapal ke Yaman kerana takut baginda membalas dendam. Dia sangat
takut jika Rasulullah membunuhnya kerana dia adalah pemimpin Quraisy
yang sangat memusuhi baginda.
Rasulullah memberi kain serban sendiri sebagai bukti jaminan pengampunan
kepada Safwan. Ketika kakinya melangkah masuk ke dalam kapal,
sahabatnya, Umair berteriak, "baginda lebih pemaaf daripada yang kamu
sangka!"
Kemudian, Safwan dibawa bertemu Rasulullah dan dia berkata, "Orang ini
(Umair) berkata engkau memberi keamanan kepadaku," lalu baginda
mengiyakannya.
Dia meminta tempoh dua
bulan berfikir mahu memeluk Islam atau tidak, tetapi baginda memberinya
empat bulan untuk berfikir. Akhirnya Safwan bin Umayyah memeluk Islam
kerana kemaafan luar biasa daripada manusia yang luar biasa. Subhanallah.
Wahai saudaraku, maafkanlah sesama kita supaya mudah bicara kita di
Mahkamah Allah nanti. Allah Maha Pengasih lagi Maha penyayang dan Dia
sangat mencintai hamba-Nya yang suka mengasihi dan menyayangi.
Allah Maha Pemaaf dan suka kepada orang yang suka memaafkan. Bukan mudah
untuk memaafkan kesalahan orang lain, tetapi pujuklah hati untuk
memaafkan supaya dosa kita diampunkan Allah.
Imam Al-Ghazali selalu mengingatkan kita, seorang hamba yang bertaubat
dengan hati ikhlas dan bersungguh-sungguh tetapi kembali melakukan dosa
supaya tidak berputus asa untuk bertaubat lagi.
Mana tahu seandainya malaikat maut mencabut nyawanya ketika dia bertaubat atau dalam perjalanan menuju taubat!
Jika seorang itu melakukan dosa dan dia berkata, "Wahai Tuhanku,
ampunilah diriku," berfirmanlah Allah, "Hambaku ini melakukan dosa lalu
dia meyakini mempunyai Tuhan yang sudi mengampunkan dan menghukumnya
disebabkan dosanya itu."(Riwayat hadis Bukhari dan Muslim)
Wahai saudaraku, maafkanlah saudaramu kecuali apabila kezaliman itu
mencapai tahap yang menghina Islam, Nabi dan Rasul, menghalau saudara
seagama daripada tanah air sendiri.
Oleh Amie Sofia Ahmad
Sumber: Metro Ahad
No comments:
Post a Comment