Terkini

gempak

RENUNGAN

KESIHATAN

PELIK

Thursday, January 2, 2014

Bapa Tunggal Risau Anak Gadisnya

Bapa tunggal runsing sikap anak remaja perempuan

Saya bapa tunggal dan mempunyai anak perempuan berusia 13 tahun. Banyak perkara berkaitan wanita yang sukar untuk dibincangkan dengannya. Apa penyelesaian sesuai yang boleh saya ambil untuk menangani situasi ini?

---------------

Membesarkan anak perempuan tanpa ibu di sisi adalah cabaran yang sangat besar bagi ayah terutama ketika anak meniti usia remaja. Banyak perkara perkembangan dan keperluan anak perlu diambil tahu dan diberi perhatian terutama sensitiviti dan aspek sosioemosi.

Ini adalah asas kepada pembentukan sahsiah, keperibadian dan menjadi tunjang kepada aspek perkembangan yang lain. Pendekatan mendidik anak remaja pastinya berbeza berbanding anak masih di peringkat pertengahan umur atau di sekolah rendah dan perlu disesuaikan mengikut keperluan ciriciri normal perkembangannya.

Kajian ilmiah mendapati gadis sunti berusia 13 tahun secara umumnya agak bertenaga selalu menitik berat mengenai penampilan diri, lebih pendiam berbanding dirinya semasa di sekolah rendah atau apabila melangkah ke sekolah menengah atas, agak moody dan sensitif, suka keluar dengan dua atau tiga kawan rapat (tidak seperti remaja lelaki yang suka keluar berkumpulan), sangat risau memikirkan mengenai kerja sekolah yang belum disiapkan dan dari segi kemahiran interpersonal.

Mereka jarang berterus terang, sebaliknya meluahkan perasaan dalam bentuk sindiran dan kelihatan seperti mencabar `kuasa' bapa. Bapa perlu peka kepada `sindiran' yang diungkapkan. Jika dia merengek tidak mahu ke sekolah mungkin kerana ada isu buli, jika dia meminta komputer peribadi dan talian internet di biliknya, mungkin sebenarnya dia rasa kesunyian dan perlukan seseorang untuk bercakap dengannya.

Perubahan hormon dalam diri secara tiba-tiba boleh menjadi dingin dan mencetuskan ketegangan pada hubungan anak perempuan dan ayahnya. Mereka bimbang dengan perubahan fizikal yang berlaku pada dirinya, risau kedatangan haid dan bagaimana perlu menampilkan dirinya supaya diterima, dihargai dan keliru dengan perubahan itu.

Malangnya, dia tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kerisauan dan apa yang dialaminya dengan kata-kata.

Cium dahi anak

Justeru, bapa tunggal yang membesarkan anak, perlu bersikap empati dengan apa yang sedang dialaminya dan peruntukkan masa yang berkualiti untuknya walaupun sekadar menghabiskan masa makan aiskrim bersama.

Kasih sayang anak wajar ditunjukkan kerana Rasulullah SAW sendiri masih lagi mencium dahi anak perempuannya Saidatina Fatimah walaupun sudah mempunyai dua anak.

Sikap itu sudah cukup membuatkan anak merasakan dirinya dihargai dan ayahnya rapat dengannya. Kesemua ini akan menyebabkan anak berasakan ayah adalah ikutan terbaik dan orang yang paling penting serta dihormati dalam hidupnya.

Berkongsi perbincangan berkaitan hal wanita dalam bentuk ilmiah seperti seorang ustaz yang mengajar fiqah wanita atau seperti seorang guru sains yang menerangkan mengenai proses kejadian manusia kepada anak muridnya, tetapi dalam bentuk perbualan dan pembelajaran yang tidak formal.

Jika ayah rasa ragu-ragu dan tidak selesa, perbincangan dengan nenek, ibu saudara (adik perempuan atau kakak kepada ayah) ataupun kakak sepupu yang rapat dengan remaja atau guru perempuan di sekolahnya perlu bagi membantu memperjelaskan isu itu.

Oleh Dr Mastura Badzis

No comments:

Designed By