Terkini

gempak

RENUNGAN

KESIHATAN

PELIK

Thursday, January 2, 2014

Simptom Remaja Murung

Tanda kemurungan remaja

Berbeza dengan orang dewasa, tanda kemurungan kanak-kanak dan remaja lebih bersifat fizikal iaitu daripada segi tingkah laku. Antaranya ialah

* Selalu berasa sedih atau rasa tidak berguna
* Tidak lagi mementingkan penampilan dan kebersihan diri
* Enggan berinteraksi dengan orang lain
* Suka melanggar peraturan
* Merosakkan harta benda awam
* Menunjukkan sikap melawan
* Tidak mahu ke sekolah
* Pencapaian akademik merosot
* Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran seperti sukan, membaca, muzik dan lain-lain
* Perlakuan berisiko seperti merempit, menyalahguna dadah atau terbabit dalam aktiviti seksual
* Lebih cepat marah dan terganggu daripada biasa

Jika anak anda menunjukkan ciri-ciri di atas, ia menandakan mereka mahukan perhatian ibu bapa atau meminta bantuan dalam diam. Ibu bapa disaran supaya mendapatkan bantuan pakar psikiatri secepat mungkin supaya masalah yang ditanggung anak tidak melarat.
Menurut Dr George, Befrienders iaitu kumpulan sokongan melalui telefon melaporkan jumlah panggilan yang mengadu mahu membunuh diri semakin meningkat dan sebahagian pemanggil terdiri daripada remaja.

Rawatan Kemurungan
APABILA seseorang berjumpa pakar psikiatri, biasanya ramai beranggapan orang itu sudah ‘tidak betul’ atau gila sehingga menyebabkan sesetengah keluarga berat hati hendak mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor kerana bimbang diberi label yang memalukan.

Ada keluarga atau ibu bapa lebih rela mengurung anak yang bermasalah di rumah tanpa menyedari tindakan itu sebenarnya akan lebih memburukkan keadaan. Lebih menyedihkan apabila ada sesetengah keluarga merantai si pesakit untuk mengelakkan dia keluar dari rumah.

“Berdasarkan pengalaman saya, ramai remaja yang bersyukur apabila dibawa mendapatkan rawatan kerana mereka sudah tidak tahan lagi menanggung tekanan atau gejala kemurungan. Bantuan profesional boleh datang daripada kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri. Kebanyakan hospital kerajaan dan swasta mempunyai pakar psikiatri atau kaki tangan khas untuk membantu kes berkaitan masalah mental.
“Pakar psikiatri akan menjalankan penilaian dengan mendapatkan maklumat daripada remaja bermasalah, ibu bapa dan adik beradik. Kemudian mereka akan menjalankan ujian untuk mengetahui jika ada masalah kesihatan lain yang mungkin menjadi punca dan akhirnya mencadangkan pelan rawatan.

“Rawatan untuk pemikiran membunuh diri akut atau mereka yang ada masalah penyalahgunaan dadah mungkin memerlukan pesakit untuk tinggal di wad buat sementara waktu,” katanya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

Ubat juga mungkin akan diberikan tetapi sesetengah ubat antikemurungan perlu diambil secara berhati-hati (di bawah pemantauan doktor) kerana pada remaja ia boleh menyebabkan keinginan membunuh diri semakin tinggi dalam beberapa minggu pertama ia diambil.

Biasanya perubahan dapat dilihat selepas satu atau dua bulan dengan pengambilan ubat yang teratur namun kebanyakan kes perlukan rawatan sekurang-kurangnya selama enam bulan untuk benar-benar ‘pulih’ dan mengelakkan berlakunya pengulangan semula masalah kemurungan.

Lain-lain rawatan termasuk terapi perlakuan kognitif, hubungan sesama manusia dan kaunseling pada remaja berkenaan dan keluarganya. Kemurungan boleh dirawat dan hampir 80 hingga 90 peratus pesakit sembuh dengan rawatan yang bersesuaian.

Saringan kemurungan
DALAM tempoh dua minggu kebelakangan ini adakah anda (atau anak anda)….
1. Sering berasa sedih atau tidak berguna?
2. Adakah anda masih suka pada pekerjaan, aktiviti kegemaran atau hobi anda?
3. Sering berasa cepat penat?
4. Sukar tidur atau tidur terlalu banyak?
5. Berat badan susut atau bertambah?
6. Sering menyalahkan diri sendiri atau semua perkara dirasakan disebabkan kesalahan anda?
7. Sukar membuat keputusan atau menumpukan perhatian pada kerja?
8. Rasa tidak tenang atau sukar bergerak?
9. Rasa tidak mahu hidup lagi?

No comments:

Designed By