Saya telah berkahwin lebih tahun lalu, kini mempunyai seorang cahaya
mata. Hidup kami suami isteri amat bahagia. Tetapi saya tak faham
mengapa suami saya masih dikawal oleh kakaknya.
"Sikap kakak ipar beginilah membuatkan hati saya sentiasa membengkak. Lebih malang suami saya, Sham tak berani bersuara sebaliknya sentiasa mematuhi arahan kakaknya." Demikian cerita Farrahaniah dalam e-melnya.
"Sham kehilangan kedua-dua orang tuanya semasa remaja. Dia dibesarkan
oleh kakak sulungnya, Kak Nana di rumah pusaka ayahnya. Pada awal perkahwinan saya tak nampak sebarang masalah. Malah kami bergilir pulang ke kampung masing-masing kerana masih belum punya rumah sendiri.
"Sebelum berkahwin Sham tinggal di bilik kecil, tetapi lepas kahwin Kak
Nana suruh kami pindah ke bilik lebih besar. Baguslah. Jadi di bilik
itulah kami memadu kasih dan saya menjadikan bilik itu amat peribadi
buat kami suami isteri.
"Masalah mulai timbul apabila Kak Nana sering benarkan adik-beradik lain serta anak-anaknya malahan orang luar melepak, berkumpul dan berbual di bilik kami. Seolah-olah bilik kami itu bilik untuk tetamu.
"Tentu siapa pun tak suka dengan perbuatan itu. Mungkin pada orang lain masalah ini
biasa sahaja, tetapi pada saya perbuatan Kak Nana mengganggu hubungan
kami suami isteri, kerana bilik kami amat peribadi dan sulit untuk
dikongsi bersama orang lain.
"Kerap kali Sham
ingatkan Kak Nana bahawa kami tidak suka bilik kami jadi tempat
adik-beradik, ipar duai dan tetamu beristirehat ataupun menjadi tempat
persinggahan, namun Kak Nana pekakkan telinga, malah, memberitahu bilik
itu memang dah biasa jadi persinggahan tetamu dan adik-beradik. Itu
dulu, kini ia menjadi milik kami.
"Rumah pusaka itu ada
tiga bilik kosong yang lain. Kerana rumah itu hanya Kak Nana anak
beranak saja yang tinggal, yang lain sudah berkahwin dan berpindah.
Sementara suami Kak Nana tinggal di selatan tanah air kerana tugas. Kak
Nana tidak dapat ikut bertukar.
"Kerana kedegilan Kak Nana kami tidak tinggal lagi ke rumah tersebut,
walaupun di bilik itu masih tinggal perabot yang kami beli dari titik
peluh kami sendiri. Kalau kami balik pun sekejap sahaja untuk bertemu
saudara mara. Sebab saya tak seronok lagi. Kami tinggal di rumah emak saya, kerana bebas dari gangguan.
"Seperkara lagi Kak Nana pantang dapat tahu adik-adiknya nak balik
kampung, dia akan pastikan kami mesti balik dan tidur di rumah pusaka.
Dia tak peduli sama ada kami sudah ada program sendiri. Namun kami wajib
balik. Tak lama
selepas kami pindah, Kak Nana dapat pindah ikut suaminya, tetapi bila
adik-beradiknya balik kampung dia tetap akan pulang. Tak kiralah sama
ada hari raya atau cuti umum yang panting kami mesti balik kumpul adik
beradik. Dia lebih rela tinggalkan suami dan anak anak beberapa hari di
rumah semata-mata berkumpul bersama adik-beradiknya.
"Akhir-akhir ini sikap Kak Nana semakin melampau, dia suka ambil tahu
tentang rumah tangga kami. Bila kami lama tidak pulang kampung, Kak Nana
akan panggil semua adik-beradiknya balik dan tanya Sham mengapa kami
tidak bermalam di rumah.
"Bagi saya perkara begitu tidak sepatutnya berlaku, Kak Nana patut sedar
Sham sudah berkeluarga dan sepatutnya dia dilepaskan daripada
kawalannya. Perbuatan Kak Nana seolah oleh tak rela adiknya berkahwin
dan bebas daripada cengkamannya.
"Kami suami isteri sering bertengkar kerana sikap dua orang kakak ipar
saya itu. Saya pernah beritahu Sham sekiranya terjadi perkara tak baik
dalam rumahtangga kami, Kak Nanalah puncanya. Kak Ngah pula bila saja
pulang kampung selalu menyuruh kami berjumpanya. Kalau boleh dia ingin
kami berada bersamanya selama mana dia ada di kampung. Maklum dia
tinggal di luar negara.
"Saya sedar mereka rapat adik-beradik sejak kematian orang tua mereka,
tetapi berilah peluang kepada kami suami isteri hidup bebas tanpa
cengkaman mereka.
"Seperkara lagi, semua harta pusaka kedua-dua ibu bapanya dikawal selia
oleh Kak Nana. Bukannya saya jenis gila harta, tetapi memandangkan sikap
Kak Nana suka mengawal, saya sekadar ingin tahu sejauh mana amanah Kak
Nana dalam pembahagian harta antara mereka.
Kata Sham, tanah arwah orang tuanya memang ada, tetapi dia sendiri tidak tahu di manakah letak bahagiannya.
"Semuanya Kak Nana uruskan, termasuklah hasil bulanan peninggalan arwah
orang tuanya. Perkara yang amat saya tidak puas hati apabila duit hasil
bulanan yang diterima sepatutnya dibahagikan mereka adik-beradik akan
dikumpul dan disimpan dahulu oleh Kak Nana. Jjika Kak Nana bercadang
mengadakan majlis makan atau kenduri, maka duit itulah akan
digunakannya. Pada pandangan saya bukanlah lebih baik hasilnya dibahagi
sama rata supaya tidak ada umpat keji.
"Bukannya saya nak berkira, tetapi gaji Sham kecil, setaraf kerani saja.
Tambahan saya tidak bekerja, sudah tentu pada zaman ini sekadar gaji
kerani sahaja tidak cukup untuk menampung hidup kami sekeluarga.
Ditambah pula dengan anak yang masih kecil, mana nak beli lampin, susu,
pakaian, bil letrik dan bil air?
"Kalaulah duit tersebut diagihkan mengikut hak masing-masing maka
ringanlah bebanan suami saya daripada mengadakan majlis makan dan
kenduri ikut kehendak Kak Nana sebagai sedekah kepada orang.
"Namun kami suami isteri tak boleh bersuara. Kak Nana memang tak boleh
ditegur. Dia sudah terbiasa mengawal adik-adik mungkin kerana dia anak
sulung. Tetapi berpada-padalah kerana kami semua telah berkahwin.
Masing-masing sudah ada tanggungjawab dan perancangan hidup sendiri.
"Harapan saya janganlah ada yang bercerai berai kerana sikapnya
sudahlah. Tujuan saya bercerita ini bukanlah berniat untuk memburukkan
Kak Nana, namun saya tetap berharap dia akan sedar sekiranya terbaca
luahan hati saya ini. Saya sentiasa berdoa agar Allah tunjukkan jalan
dan membuka hati Kak Nana agar tahu batasan tanggungjawabnya dan kawalan
terhadap adik-adiknya.
~ Utusan
Thursday, January 2, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment