KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kementerian Pertahanan akan memastikan kesiapsiagaan ATM sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi mematahkan sebarang ancaman pencerobohan pengganas di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada ketika ini, ATM mempunyai dua formasi pertahanan di kawasan berkenaan iaitu Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dan Briged Esscom.
Katanya, ATB2 ditubuhkan untuk mengawasi maritim, pulau dan perairan Sabah dan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia).
"Sementara Briged Esscom yang ditubuhkan selepas berlakunya insiden Lahad Datu pula bertanggungjawab terhadap operasi daratan meliputi 13 pos sedia ada dan tambahan dua pos gabungan yang menempatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM.
"Bagi peningkatan kesiapsiagaan dan bantuan pengawasan keselamatan Briged Esscom, aset yang digunakan semasa insiden Lahad Datu akan terus digunakan oleh pasukan-pasukan yang bertugas di bawah Briged Esscom," katanya pada Majlis Perutusan Menteri Pertahanan Tahun 2014 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pasukan tersebut juga telah diperlengkapkan dengan sistem pengawasan seperti radar dan peralatan pandang malam yang dapat mengesan elemen-elemen ancaman dengan segera.
Selain itu, beliau berkata, Pasukan Atur Cepat (PAC) juga ditempatkan di lokasi dan pulau-pulau strategik di Timur Sabah yang boleh bertindak pantas, apabila berlaku ancaman.
ATM juga, jelas beliau, menempatkan elemen operasi bersama terdiri daripada unit infantri, unit mekanise, tim anjing perang, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Trup Armor bagi memperkukuhkan pertahanan Esscom.
"Malah, saya juga ingin memaklumkan bahawa ATM telah mendapat mandat daripada Perdana Menteri untuk membina sebuah kem tentera di Felda Sahabat untuk memantapkan pertahanan Timur Sabah yang akan menempatkan Markas Briged, Markas Batalion dan unit-unit sokong dan logistik.
"Perbincangan antara pihak ATM dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Felda, sedang berlangsung. Saya difahamkan Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan pembinaan kem ini dan menetapkan kos tidak melebihi RM400 juta (had syiling yang ditetapkan)," katanya.
SUMBER
No comments:
Post a Comment