Terkini

gempak

RENUNGAN

KESIHATAN

PELIK

Wednesday, February 26, 2014

Tiada krisis air jika setuju awal bina Langat 2


Beberapa penduduk Blok F, Rumah Pangsa Kenari terpaksa mengangkut air dibekalkan oleh Syabas selepas kawasan Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor terputus bekalan air, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Krisis air di Lembah Klang ketika ini tidak akan menjadi buruk sekiranya kerajaan negeri Selangor bersetuju lebih awal untuk melaksanakan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, projek untuk kepentingan pengguna tidak sepatutnya dibantah atau dipolitikkan kerana pelbagai masalah lain bakal timbul sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Dalam konteks itu, kata beliau, rakyat khususnya di Selangor perlu menilai perbezaan komitmen Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri itu yang lebih bersikap profesional dalam menangani isu-isu kepentingan pengguna.

"Kalau dahulu Kerajaan Selangor menerima hasrat Kerajaan Pusat, kita tidak akan menempuh keadaan sebegini apabila sampai satu peringkat rakyat akan susah.
"Walau bagaimanapun, kita berharap mereka akan membuat keputusan dalam masa singkat untuk membina loji ini kerana kerajaan negeri sudah sedar kesilapan dan menerima hakikat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kafe Gloria Jean's Coffee, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan beliau, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melaksanakan catuan bekalan air secara bergilir di seluruh negeri mulai hari ini ekoran daripada penyusutan paras air empangan.
Keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengelak rizab air di empangan di negeri ini digunakan terlalu banyak, selain memastikan para pengguna terus mendapat bekalan air bersih.
Sebelum ini, projek Langat 2 yang dilaksanakan kerajaan Pusat untuk menangani krisis bekalan air di Lembah Klang dan Putrajaya itu terpaksa ditangguhkan berikutan tindakan kerajaan negeri yang dilaporkan enggan memberikan kelulusan perintah pembangunan (DO).

Malah, Abdul Khalid menerusi laporan akhbar pada 31 Ogos 2010 menyatakan pembinaan loji berkenaan tidak perlu dibuat secara terburu-buru berbanding penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan.
Dalam pada itu Hasan berkata, para peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan ketika krisis air dengan menaikkan harga barang sesuka hati sehingga membebankan pengguna.

Beliau berkata, mereka yang didapati bersalah akan berdepan dengan tindakan tegas mengikut peruntukan-peruntukan sedia ada seperti Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011.
"Krisis air ini memberi kesan kepada semua, masalah akan berkait-kait termasuk menjejaskan industri perniagaan.

"Untuk itu, kerajaan memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati dan jika dikesan mereka akan dikenakan tindakan mengikut akta sedia ada," katanya.


SUMBER

No comments:

Designed By