Pengesahan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar khas itu menamatkan segala teka-teki mengenai ke mana hilangnya pesawat MH370 sejak 17 hari lalu.
Menurut Perdana Menteri, rumusan mengenai nasib pesawat MH370 dibuat berdasarkan kajian serta siasatan rapi oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).
Kata Najib, AAIB memaklumkan kepadanya syarikat pembekal data satelit, Inmarsat telah melakukan perkiraan terhadap semua data menggunakan analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini sehingga berjaya mengesan laluan terakhir pesawat.
"Berdasarkan analisis tersebut, Inmarsat dan AAIB merumuskan MH370 terbang di koridor selatan. Lokasi terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi yang terpencil dan tidak mungkin mendarat.
"Dengan rasa sedih dan kesal saya perlu memaklumkan berdasarkan data itu, penerbangan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi.
"Kepada semua keluarga, beberapa minggu terakhir ini sangat menyedihkan dan saya tahu berita terbaharu ini menambahkan lagi keperitan mereka," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Yang turut hadir, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan beberapa menteri Kabinet lain.
Sebelum ini, kerajaan mengesahkan bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ADARS) serta transponder sengaja dimatikan oleh individu tertentu dalam pesawat.
Dalam pada itu, Najib memberitahu, penjelasan lanjut mengenai MH370 akan dibuat dalam sidang akhbar esok dan pada masa sama, meminta pihak media menghormati perasaan sedih keluarga mangsa.
Perdana Menteri berkata, semua keluarga mangsa juga telah dimaklumkan oleh pengurusan MAS mengenai nasib menimpa MH370.
"Saya meminta pihak media menghormati privasi keluarga mangsa dan berikanlah ruang kepada mereka pada saat-saat sukar begini," katanya dalam nada sebak.
Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata.
No comments:
Post a Comment