Tuesday, March 25, 2014
Operasi mencari serpihan dan objek MH370 diteruskan di selatan Lautan Hindi - Najib
KUALA LUMPUR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tumpuan kerajaan pada masa kini adalah untuk mencari serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.
Beliau berkata ini bagi mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah pun hilang di selatan Lautan Hindi walaupun ia akan mengambil masa yang lama di samping bakal menghadapi cabaran yang sukar.
"Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan yang akan datang ialah untuk mencari segala serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370.
"Tidak dapat dinafikan kawasan tersebut amat sukar dan mencabar sekali, ini bererti kita akan menghadapi dugaan dan cabaran yang luar biasa untuk mencari serpihan rangka dan objek-objek pesawat," katanya ketika membentang usul khas tragedi MH370 di Parlimen di sini hari ini.
Najib berkata kerajaan tetap komited untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang akan memberi jawapan ke atas apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat malang itu. - BERNAMA
Labels:
ISU SEMASA,
MH 370
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment