Monday, July 21, 2014
MH17: MENTERI YAKIN MENGESAN DALANG TEMBAKAN PESAWAT
KLUANG 20 Julai - Malaysia yakin pihak berkuasa dan pakar akan menemui bukti termasuk serpihan senjata yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di lokasi nahas tersebut berlaku.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya benar sistem peluru berpandu jenis BUK digunakan oleh dalang insiden itu, pihak berkuasa tidak ada masalah untuk mengaitkannya melalui serpihan-serpihan yang ditemui.
"Saya percaya bahawa masih ada serpihan-serpihan yang boleh ditemui di lokasi nahas untuk mencari bukti kejadian tersebut dan seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan secepat mungkin.
"Tetapi, saya meminta jangan ada mana-mana pihak yang menyembunyikan, menutup atau mencemar tapak kejadian itu kerana serpihan senjata akan membantu kita mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab," katanya dalam majlis Rahmat Ramadan Parlimen Sembrong di Felda Ulu Penggeli di sini hari ini.
Tambah Hishammuddin, pihak berkuasa dan pakar dari Malaysia sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menunggu kebenaran pihak Ukraine untuk melakukan siasatan terperinci termasuk menyempurnakan mayat.
"Kita yakin Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang sudah berada di sana mampu mempercepatkan proses tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin menuntut pihak yang mengambil mayat mangsa memaklumkan kepada dunia ke mana mereka membawa mayat tersebut dan tujuan berbuat demikian.
Katanya, semua pihak termasuk dirinya sendiri yang kehilangan nenek dalam kejadian tersebut mahu mengetahui status jasad-jasad yang diambil pihak berkenaan.
"Saya juga akan memantau sendiri perkara tersebut melalui risikan dan kerjasama dengan rakan-rakan sejawat dari seluruh dunia untuk mengetahui laporan terkini.
"Kita mahu penjelasan pihak yang mengambil mayat tersebut, ke mana semua mayat itu dibawa dan mereka perlu maklumkan kepada dunia apa yang mereka mahu lakukan terhadap kesemua mayat yang diambil itu.
"Malah, mereka perlu melayan semua mayat terbabit secara tertib, hormat serta menjaga sensitiviti setiap keluarga mangsa," ujarnya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment